Selasa, 11 April 2017

10 Hakikat & Kebenaran Hidup | Sedar Atau Tidak?

Salam.


Aku ada terbaca satu artikel di sini yang membincangkan hakikat dan kebenaran dalam hidup kita. Kita sebenarnya tahu dengan semua hakikat dan kebenaran hidup tu. Cuma kadang-kadang kita terlepas pandang. Jadi kat sini aku nak ingatkan antara hakikat dan kebenaran hidup yang mungkin dapat membantu mengubah kita menjalani hari-hari yang akan datang. Semoga kita akan menjadi lebih positif, lebih produktif dan lebih bahagia. Camtuh.

1.   Sebelum kejayaan, adanya kegagalan
Kita tidak akan dapat rasai kemanisan kejayaan yang sebenar jika kita tidak pernah menghadapi kegagalan kerana kegagalan membantu kita untuk berfikir di luar kotak di samping membangkitkan semangat untuk berjaya yang lebih daripada biasa. Pada masa yang sama, kegagalan juga merupakan satu pengajaran dan pelajaran kepada kita.

2.   Sibuk tidak bermakna produktif
Kejayaan tidak datang daripada sepantas mana kita bergerak atau seberapa banyak aktiviti kita jalankan tapi datang daripada fokus, iaitu, bagaimana masa yang ada dapat digunakan dengan berkesan dan produktif.

3.   Kita adalah sebaik dan sehebat mereka yang berada di sekeliling kita
Kenali dan dekati orang-orang yang berjaya agar dapat memberi inspirasi kepada kita. Jangan habiskan masa dengan orang-orang yang sering membuatkan kita rasa tidak dihargai.

4.   Kita pada hari ini adalah kerana pilihan dan tindakan kita semalam
Tiada siapa yang paksa kita untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan. Hidup kita pada hari ini adalah dibina oleh pengalaman-pengalaman lepas berdasarkan pilihan dan keputusan kita sendiri.

5.   Takut nanti menyesal
Jangan takut untuk mengambil risiko. Orang putih kata, what does not kill you makes you stronger. Daripada pada akhirnya kita menyesal kerana tidak buat apa-apa? Lebih baik kita buat sesuatu, biarpun gagal, biarpun salah, ada pelajaran dan pengajaran di sebaliknya. Tak begitu?

6.   Tidak perlu menunggu kemaafan untuk memaafkan
Bila kita memaafkan, itu bukan bermaksud kita kalah atau kita bersetuju dengan tindakannya, tapi sebenarnya kita membebaskan diri kita daripada emosi-emosi negatif seperti marah, dendam, benci dan sebagainya. Jadi hidup pun akan lebih tenang dan bahagia.

7.   Syukuri dan nikmati hari ini
Terima dan redha dengan masa lalu kita, terima dan bersedia dengan masa depan kita. Kita tahu mengalir air mata darah sekali pun tidak akan dapat mengubah masa lalu kita, tidak akan dapat mengubah apa yang telah kita lakukan.

8.   Harga diri kita adalah ditentukan oleh kita sendiri
Tidak perlu bandingkan diri kita dengan orang lain, tidak perlu terlalu memikirkan apa pandangan orang lain terhadap kita. Bila kita rasa puas, rasa bahagia apabila kita melakukan sesuatu, jangan biarkan apa yang orang lain fikir mengganggu kita dan akhirnya membuatkan kita rasa sebaliknya.

9.   Hidup ini singkat 
Tiada siapa pun yang hidup di dunia ini dijanjikan hari esok. Jadi penting bagaimana kita gunakan masa kita pada hari ni dan macam mana kita melayan orang-orang di sekeliling kita.

10. Perubahan itu pasti - hadapi dengan senyuman
Jika hidup kita seperti yang kita rancang, seperti yang kita mahukan, maka, hargailah setiap minit daripadanya. Kerana bila-bila masa semua tu boleh berlalu sekelip mata. Jadi berfikiran terbuka dan berlapang dada untuk segala kemungkinan dan perubahan.

Kesemua hakikat dan kebenaran di atas dapat memberikan semangat dan motivasi kepada kita untuk lebih kuat menghadapi cabaran dan dugaan dalam hidup. Ingat, hidup di dunia ini hanya sekali. Ya. Nampak ringkas dan mudah tapi isinya padat dan tepat.

1 ulasan:

  1. sibuk tak semestinya produktif.
    Ya Allah betul sangatttt

    BalasPadam

Copyright © Budak Lelaki Sebelah Pintu Designed by azhafizah.com