Rabu, 13 September 2017

Hias Rumah Gaya Scandinavian - Sederhana & Minimal

Artikel Oleh: Yusri

Salam.


Hiasan dalaman rumah gaya Scandinavian adalah merupakan reka bentuk yang mempunyai ciri kesederhanaan, minimal dan mengutamakan fungsi yang mula muncul pada sekitar tahun 1950-an di negara-negara Scandinavia, iaitu, Finland, Norway, Sweden, Iceland dan Denmark. Walaupun istilah Scandinavia sebenarnya hanya merujuk kepada negara Denmark, Sweden dan Norway, tapi istilah tu juga sering digunakan untuk merujuk kepada kelima-lima buah negara tersebut.

Ciri-ciri reka bentuk hiasan dalaman Scandinavian adalah seperti berikut:


#1

Permaidani tidak diletakkan memenuhi ruang dinding ke dinding


Permaidani tidak pernah menjadi perkara yang popular dalam gaya Scandinavian. Sebaliknya, lantai kayu sering digunakan di seluruh rumah dan kadang-kadang dilembutkan dengan karpet.



#2

Cahaya dan warna yang pudar

Kerana musim sejuk yang begitu panjang dan gelap, hiasan dalam rumah di negara-negara Scandinavia biasanya dicat putih untuk membantu mencerminkan ruang yang terang. Apabila warna putih digunakan, ruang tersebut lebih terasa lembut dan bersahaja di samping memastikan seluruh ruang seperti bersatu, seragam dan cerah. 


#3

Penggunaan kayu

Sama ada lantai mahupun dinding, elemen kayu juga banyak digunakan untuk membuat almari atau mainan. Kayu yang digunakan dalam reka bentuk Scandinavian kebiasaannya adalah kayu ringan seperti bic, abu dan pain.


#4

Elemen garisan

Tidak banyak hiasan berlebihan yang terdapat dalam reka bentuk Scandinavian. Potongan yang moden, bersih dan padat adalah merupakan ciri reka bentuk gaya Scandinavian.


#5 

Ruang lapang

Secara tradisinya, banyak rumah di negara-negara Scandinavia adalah sangat kecil dan tidak membenarkan jumlah barangan yang berlebihan. Walaupun rumah sekarang dibina lebih besar daripada sebelumnya dan terdapat lebih banyak ruang untuk sesuatu, idea untuk mengekalkan ruang yang bebas daripada keserabutan kekal sebagai aspek penting dalam reka bentuk Scandinavia.


#6

Gaya mudah dan ringkas

Hiasan kekal minimum dalam reka bentuk gaya Scandinavian. Dinding kosong dan ruang kosong tidak akan menampakkan kebosanan.


#7

Memaksimumkan cahaya semulajadi

Kerana keadaan yang gelap sepanjang tahun di negara-negara Scandinavia, cahaya semulajadi telah menjadi satu perkara penting dan harus dimaksimumkan. Hiasan di tingkap seperti langsir diminimumkan dan hanya menggunakan warna-warna cerah untuk mendapatkan cahaya semulajadi secara maksimum.


#8


Elemen hijau

Untuk membantu mencerahkan ruang dan membawa kehidupan, tumbuh-tumbuhan banyak digunakan sebagai elemen hiasan, sama ada pokok atau daun-daun di dalam pasu mahupun gambar-gambar di dinding. 



#9

Tekstil yang selesa

Reka bentuk hiasan dalaman gaya Scandinavian tidak menggunakan tekstil yang banyak. Tekstil yang digunakan (selimut dan bantal) bukan sekadar hiasan semata-mata tetapi berfungsi sebagai pembekal kehangatan yang selesa serta cara yang bergaya untuk menambah tekstur apabila tidak digunakan.

Secara peribadi, aku sangat menggemari reka bentuk hiasan dalaman gaya Scandinavian ni kerana mengutamakan kesederhanaan dan minimal. 

Sumber gambar: Google Images

Selasa, 12 September 2017

Anding Berang Komen Nyanyian Sekadar Hobi Datuk Ramli MS?

Salam.


Anding Indrawani adalah merupakan salah seorang peserta Akademi Fantasia 2 bertahun-tahun yang lalu. Aku memang follow habis Akademi Fantasia 2 masa tu. Masa tu aku memang minat gila dengan Farah Breep Breep. Pengetua Akademi Fantasia 2 masa tu tak lain tak bukan Datuk Ramli MS lah. Haaa... Tahun ni Anding kembali membuat persembahan di pentas AF Megastar. Tapi kali ni Datuk Ramli MS bertindak sebagai juri tetap program tersebut. Nak buat macam mana, keputusan malam tu tidak menyebelahi Anding bila gagal tersenarai dalam 12 peserta AF Megastar. Takde rezeki lah namanya tu. Tapi tersenarai dalam 24 peserta AF Megastar tu pun dah kira cemerlang dah. Betul tak?

Malam konsert homecoming hari tu Anding menyanyikan dua buah lagu secara medley, kalau aku tak silap lagu Feeling Good dan lagu I Feel Good. Aku tak sempat tengok persembahan Anding malam hari tu. Jadi aku baru je sempat tengok persembahan Anding tadi. Apa yang aku boleh cakap, persembahan Anding malam tu agak berlebihan dari segi ekspresi dan emosi. Pada pendapat aku, persembahan macam tu mungkin lebih sesuai kepada pertunjukan teater. Pandai pandai aku je kan? Haha! Tapi memang macam tu pun cara Anding buat persembahan dari dulu, dari Akademi Fantasia 2. Mengenai nyanyian pula, tiada apa yang luar biasa. Boleh lah. Apa apa pun aku memang puji semangat, keghairahan dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh Anding malam tu. Nampak lah Anding betul betul nak buktikan bakat yang dia ada. Tapi ni komen aku sebagai penonton biasa semata-mata. Jangan ambil serius sangat. Haha!

Sebagai peserta pertama yang membuat persembahan malam tu, Datuk Ramli MS memberikan komen terhadap persembahan Anding. Dimulakan dengan pujian terhadap peningkatan mutu nyanyian Anding berbanding semasa Akademi Fantasia 2 yang lalu dan disusuli dengan komen yang agak pedas apabila Datuk Ramli MS menyatakan yang Anding belum dapat lawan peserta-peserta AF Megastar yang lain. Tak habis kat situ, Datuk Ramli MS turut berpendapat yang Anding hanya sesuai jadikan nyanyian sebagai hobi. Tapi Datuk Ramli MS juga memberikan pandangan yang Anding lebih bagus dalam bidang lakonan berbanding nyanyian.

Susulan komen itu, Anding memuat naik gambar berserta keterangan mengenai kritikan tentang nyanyian sekadar hobi yang diterima malam tu. Nah baca sendiri. Anding menceritakan kepayahan dan pengorbanan yang telah dilakukan sepanjang 13 tahun dia berada dalam industri.


Apa pendapat korang? Patut atau tidak Anding menelan dan menerima kritikan yang diberikan tanpa perlu membuat apa-apa kenyataan? Patut atau tidak Anding mempertahankan diri apabila dikatakan nyanyian hanya sesuai dijadikan sebagai hobi?

Semoga Anding berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi kat luar sana tu.

Isnin, 11 September 2017

Tips Jaga Diri Elak Ditipu, Disamun & Dirompak Semasa Melancong Luar & Dalam Negara)

Salam.

Sumber gambar: DI SINI

Siapa lah yang tak suka melancong kan? Aku rasa semua orang suka melancong! Cuma duit je yang membezakan kekerapan kita melancong. Haha! Betul tak? Kalau lah aku banyak duit, setiap bulan aku boleh pergi melancong. Tapi setakat hari ni belum mampu lagi lah. Sama sama kita berdoa supaya kita semua dimurahkan rezeki okay?

Sempena dengan MATTA Fair yang baru je melabuhkan tirainya semalam, seorang warga twitter telah berkongsikan tips keselamatan diri semasa melancong, sama ada dalam mahupun luar negara. Suka hati je aku kaitkan dengan MATTA Fair kan? Padahal takde pun dia cakap macam tu. Haha! Sebenarnya tips tersebut ditujukan kepada wanita-wanita yang melancong secara solo. Tapi pada pendapat aku, tips tu memang berguna untuk lelaki juga. Sebab sekarang ni semua orang terdedah kepada rompakan, gangguan seksual dan sebagainya.


Ada 19 tips kesemuanya. Kalau rasa tak larat nak baca semua tu, meh sini aku ringkaskan antara tips keselamatan diri semasa melancong dalam dan luar negara:
  • Pastikan telefon kita sentiasa hidup, ada internet dan juga kredit.
  • Jangan tanya arah kepada orang yang tidak dikenali.
  • Jangan terlalu menonjol dari segi pakaian.
  • Sentiasa cari dan berada di tempat awam dan terbuka. 
  • Guna bahasa melayu bagi mengelakkan ditipu atau disamun.
  • Bawa passport ke mana je. Jangan simpan dalam bag, kat hotel atau tinggalkan.
  • Pastikan bag yang mengandungi barang-barang berharga diletakkan kat depan dan bukannya kat belakang.
  • Jangan respons apa-apa kalau ada orang tahan.
  • Jika kita rasa seperti ada orang yang mengekori kita, paling selamat kita masuk kedai makan.
  • Jangan main telefon kat luar.

Berhati-hati lah ye? Malang memang tak berbau. Sekiranya kita berada dalam situasi yang mencemaskan seperti disamun, jangan cuba untuk jadi hero. Apa apa pun semoga kita semua pergi dan kembali dengan selamatnya. Nak melancong ke mana pula lepas ni?

Copyright © Budak Lelaki Sebelah Pintu Designed by azhafizah.com