Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dan salam sejahtera!
Alhamdulillah. Hari Jumaat lepas aku jadi pengacara majlis lagi untuk kesekian kalinya. Entah dah berapa kali aku jadi pengacara majlis kat tempat kerja aku tu pun aku tak tahu la. Aku dah lost count. Tapi aku takde la kisah sangat pun. Tu salah satu sumbangan aku kat tempat kerja aku kot. Lagipun aku bukan hebat sangat jadi pengacara majlis ni. Aku ni bidan terjun je.
Kali ni aku nak kongsikan pantun-pantun yang aku pakai sepanjang aku jadi pengacara majlis kat situ. Kot kot ada la yang nak pakai pantun sebab tiba-tiba jadi bidan terjun kena paksa jadi pengerusi majlis ke kan? Haha! Padan muka! Kat sini aku kongsikan pantun alu-aluan, pantun sebelum bacaan doa, pantun jemput beri ucapan, pantun jemput merasmikan majlis, pantun jemput makan dan pantun sebelum majlis bersurai. Haaa... Tapi takde la setiap 10 saat kau nak berpantun kan? Berdosa tau. Agak agak la nak berpantun tu. Dua atau tiga rangkap pantun pun dah cukup.
Pantun Alu-Aluan
Indah berbalam si awan petang,
Berarak megah di Tanjung Bidara,
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.
Dalam diam mata bertentang,
Jiwa pun rela hati dah suka,
Pemanis kalam selamat datang,
Majlis bermula tirai dibuka.
Pantun Jemput Baca Doa
Kerat rotan bersama buluh,
Sayang bertahun tumbuh setempat,
Diangkat tangan jemari sepuluh,
Doa dipohon biar selamat.
Tepi berangan rumpunan buluh,
Buluh merimbun subur teramat,
Diangkat tangan jemari sepuluh,
Doa dipohon biar selamat.
Pantun Jemput Beri Ucapan
Dara rupawan tersenyum manis,
Petik kenanga kuntum delapan,
Hadirnya tuan penyeri majlis,
Molek kiranya susuli ucapan.
Sudilah tuan tampil ke depan,
Tampil ke depan menyambut salam,
Sudilah tuan beri ucapan,
Kata aluan pemanis kalam.
Pantun Jemput Merasmikan Majlis
Sudilah tuan tampil ke depan,
Tampil ke depan tersenyum manis,
Sudilah tuan beri ucapan,
Beri ucapan merasmi majlis.
Bukan rumput sebarang rumput,
Rumput berseni bagai hiasan,
Bukan jemput sebarang jemput,
Jemput memberi kata ucapan.
Kalau tuan pikat kenari,
Jangan patahkan batang jerami,
Kepada tuan hormat diberi,
Mohon rasmikan majlis kami.
Pantun Jemput Makan
Tampak sepadan segak bergaya,
Bagai pasangan teruna dan dara,
Bermacam hidangan sudah tersedia,
Dijemput tuan menjamu selera.
Pantun Penutup Majlis
Gunung nan tinggi di balik awan,
Bagai terlihat bintang bertamu,
Sampai sini tuan dan puan,
Ada hayat kita bertemu.
Leka bersiap si anak dara,
Teruna tekun memasang pelita,
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.
Semoga berjaya!