Selasa, 9 April 2019

Pengalaman Tanam Anak Pokok Di Save Our Rainforest Race (SORR) 2019

Salam.


Alhamdulillah. Walaupun aku tak berapa sihat hari tu tetapi aku berjaya menamatkan larian Save Our Rainforest Race (SORR) 2019 ni. Haaa… Acara ni bukan sekadar larian semata-mata ya. Acara ini sebenarnya bertujuan mendidik para peserta dalam usaha memelihara dan memulihara hutan kita. Usaha yang sangat murni bukan? Tahniah diucapkan buat PEKA Malaysia.


Tak silap aku ini adalah merupakan tahun kedua SORR diadakan. Tahun lepas katanya SORR diadakan di Tanjong Malim, Perak. Dan tahun ini pula SORR diadakan di Ayer Keroh, Melaka. Sebagai anak jati Melaka, aku bangga dengan adanya acara seumpama ini. Sambil kita melakukan aktiviti menyihatkan tubuh badan, kita juga membantu usaha pihak penganjur dalam menyebarkan kesedaran memelihara dan memulihara hutan. 


5 Perkara Menarik Tentang SORR

#1 Sepasang sayap tak terlihat umpama mimpi yang tersimpan

Penyertaan peserta adalah secara berpasangan. Maksudnya tiada pendaftaran secara individu dalam acara ini. Haaa... Nak tak nak kau orang kena bersama sama melangkah ke garisan penamat. Sweet ke tidak?


#2 Kita berlari dan teruskan bernyanyi

SORR tidak menggalakkan semua peserta untuk berlari bagi acara ini. Serius? Serius! Pihak penganjur siap meletakkan beberapa banner yang menyatakan "NO RUNNING" di sepanjang laluan. Jadi? Tak payah nak lari sangat lah. Jalan saja!


#3 Cabaran penuh liku lazimnya kan berlalu

Ada 8 jenis cabaran yang disediakan bagi menyuntik elemen keseronokan. Pada pendapat aku, cabaran cabaran dia agak mudah dan menarik lebih lebih lagi bila cabaran itu memerlukan kita bekerjasama sebagai pasangan. 


#4 Bertanam tebu di pinggir bibir rebung berduri di hati

Kemuncak acara bagi SORR ini adalah tugasan menanam anak pokok! Sebelum mendapat menamatkan acara dan menerima pingat, setiap peserta perlu menanam anak pokok mengikut kawasan yang telah dibahagikan. Aku boleh kata antara pengalaman yang berharga dalam hidup aku bila aku dapat berbudi kepada tanah seperti ini.


#5 Panas panas panasnya mentari tak sepanasnya cinta ku ini

Laluan SORR hari itu adalah teduh dan terlindung daripada panas matahari. Haaa... Agak agak kenapa? Kerana ada pokok di kiri jalan dan di kanan jalan sepanjang laluan hari itu. Jadi udara yang kita orang sedut hari itu pun terasa segar dan penuh dengan oksigen. Haha!


Tak sabar untuk sertai SORR yang seterusnya. Tahun depan kat mana pula ya?

Selasa, 5 Mac 2019

Lumut Eco Run 2019: Lari Sambil Nikmati Alam Di Lumut, Perak

Salam.


Hujung minggu yang lepas aku sertai larian 10 kilometer bagi acara Lumut Eco Run 2019. Alhamdulillah. Masa yang dicatatkan masih boleh dibanggakan. Haha! Risau stamina dah ke laut sekarang ni. Maklum je lah umur semakin meningkat. Boleh? Tapi yang penting gigih ke tidak aku datang dari Alor Gajah, Melaka ni? Sekali sekala apa salahnya kan.

Alhamdulillah. Aku berjaya menamatkan larian dalam masa lebih kurang 1 jam 15 minit. Kami dilepaskan tepat jam 7 pagi seperti yang dimaklumkan. Suasana pagi yang segar dan tenang membuatkan aku bertambah semangat untuk berlari. Laluan aku sepanjang larian hari tu ditemani pokok pokok yang menghijau dan Sungai Manjung. Tapi aku tak sempat nak menikmati sangat sebab tengah tak cukup nafas berlari. Haha!

Katanya Lumut Eco Run 2019 ni telah menerima lebih daripada 1200 penyertaan. Wow! Satu angka yang agak membanggakan bagi penganjuran kali pertama. Syabas dan tahniah diucapkan! Semoga tahun tahun yang berikutnya akan menerima lebih banyak penyertaan. 



Apa yang menariknya dengan Lumut Eco Run 2019 ni? Dah tentu lah lokasi dia! Haaa... Kat Lumut, Perak tu. Sambil aku sertai acara larian, aku sempat jalan jalan sekitar Lumut ni. Cuma aku tak sempat nak ke Pulau Pangkor! Sedih tak? Padahal 10 minit je naik feri daripada tempat penginapan aku hari tu. Tiada rezeki nampaknya. Takpe lah. Lain kali mungkin. Tahun depan ke? Ya! Untuk pengetahuan kau orang, penganjur dah rancang untuk mengadakan acara larian ni selama 4 tahun berturut-turut. Yang menariknya, medal setiap tahun akan direka mengikut tema yang telah ditetapkan. Untuk tahun 2019 ni, tema medal adalah unsur tanah, diikuti tahun 2020 dengan unsur air, 2021 dengan unsur api dan 2022 dengan unsur angin.



Sebagai salah seorang peserta yang mengikuti acara ni, aku mendapati terdapat beberapa kelemahan dan kekurangan yang perlu diberi perhatian oleh pihak penganjur. Tapi aku ambil maklum yang penganjur ni baru pertama kali mengadakan acara larian ni. Aku harap penganjuran pada tahun depan dan tahun seterusnya lebih baik daripada tahun ni. 

5 kelebihan yang ada kat Lumut Eco Run 2019 ni.
  1. Lokasi yang menarik. Larian hari tu mula dan tamat di Jeti Lumut. 
  2. Masa pelepasan adalah tepat pada waktunya. Tak buang masa! Dan masa pelepasan bagi acara 21 kilometer adalah pada jam 6:45 pagi. Haaa... Keputusan ini dibuat untuk memudahkan urusan solat Subuh bagi peserta yang beragama Islam.
  3. Trek larian yang agak mudah dan tidak terlalu mencabar. Boleh kata tiada bahagian yang terlalu mencanak. Lega!
  4. Laluan trafik yang terkawal. Tak banyak kenderaan yang lalu lalang sepanjang trek larian.
  5. Rekod catatan masa. Aku rasa tidak semua acara larian ada menyediakan rekod catatan masa setiap peserta.


5 kekurangan yang perlu diperbaiki pada masa akan datang.
  1. Larian 10 kilometer hanya ada satu stesen air. Aku rasa patut ada sekurang-kurangnya dua stesen air.
  2. Kualiti medal agak mengecewakan. Aku harap tahun depan pihak penganjur boleh meningkatkan kualiti medal pada tahun akan datang
  3. Tiada kon diletakkan bagi trek larian pada jalan utama. Keselamatan para peserta perlu diutamakan.
  4. Papan tanda jarak larian tidak disediakan. Jadi aku agak tertanya tanya bila nak habis ni aku dah macam penat gila ni eh kejap aku lari 21 kilometer ke 10 kilometer ni tolong bagitahu cepat. Haha!
  5. Pengambilan kit agak kurang sistematik. 

Apa apa pun tahniah diucapkan kepada pihak penganjur atas kejayaan julung julung kalinya mengadakan acara larian ni. Semoga tahun depan dan tahun tahun akan datang lebih baik!


Jom?

Rabu, 24 Oktober 2018

The Music Run 2018: Pengalaman Lari Sebelum Parti

Salam.


Ni kali pertama aku join The Music Run yang dibawakan oleh AIA Vitality. Terima kasih AirAsia Bloggers' Community kerana memberi peluang untuk aku merasai pengalaman ni. Rasanya dah beberapa tahun juga The Music Run ni diadakan. Tapi baru tahun 2018 ni aku ada rezeki untuk sertai. Rezeki tak pernah salah alamat kan?


Tahun ni The Music Run diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Apa yang membezakan The Music Run dengan acara lain yang lain? Haaa... Kita akan disajikan dengan lagu lagu yang merangsang adrenalin kita sepanjang larian sama ada 5 kilometer mahupun 10 kilometer. Jadi larian kita tak bosan sangat lah. Lepas tu dah tak payah dah pakai earphones ke earbuds ke nak dengar lagu lagu daripada phone kita.




Tapi acara yang paling ditunggu tunggu dalam The Music Run ni adalah selepas tamatnya larian kita hari tu. Sebab apa? Sebab ada parti! Haha! Hebat betul lepas habis larian kita ada parti siap jemputan DJ Sam Withers. Sah sah lah aku tak kenal langsung siapa DJ Sam Withers tu. Tapi enjoy juga layan parti tu. Haha!

Selain daripada parti, The Music Run turut menyediakan aktiviti-aktiviti menarik dalam stadium tu. Aku nak senaraikan satu satu pun aku tak tahu nama setiap aktiviti tu. Kalau nak tahu, kena join The Music Run tahun depan ya? Boleh? Senang kerja aku. Haha!



Pada pendapat aku, The Music Run ni memberikan pengalaman yang baru dan segar untuk aku yang tak pernah sertai larian seumpamanya sebelum ni.

Selasa, 16 Oktober 2018

Pengalaman Lari HSN21KM Sempena Hari Sukan Negara 2018

Salam.


Alhamdulillah. Pada hari Sabtu yang lepas, aku telah berjaya melengkapkan larian 5 kilometer anjuran Proton HSN21KM bersempena dengan sambutan Hari Sukan Negara 2018. Dah lama sebenarnya aku tak join event running ni. Mungkin sebab tu badan aku seperti kembang semacam je. Haha!



Dah 2 tahun dah event HSN21KM ni buat kat Dataran Merdeka. Dan dah 2 tahun juga aku join event HSN21KM ni. Tapi tahun ni tukar tempat pula dah. Tahun ni dia buat di Stadium Nasional Bukit Jalil. Jadi kita orang naik tren je pergi sana.

Trek larian 5 kilometer kali ini bermula di stadium dan kemudian patah balik di Calvary Convention Centre sebelum ke garisan penamat. Pada pendapat aku, trek dia agak mudah. Tapi ada juga beberapa bahagian yang mendaki. Cuma tak terlalu mencabar. Haha! Berlagak nampak? Aku ambil masa lebih kurang 30 minit untuk menamatkan larian tu. Not bad lah untuk aku yang jarang join event running macam ni.




Jumpa lagi tahun depan!

Rabu, 24 Mei 2017

Pengalaman Pertama Sertai Standard Chartered KL Marathon

Salam.


Pertama kali aku join acara larian Standard Chartered KL Marathon ni. Katanya ni tahun ke-9 acara tahunan ni dijalankan. Tapi aku tak join full marathon ataupun half marathon pun. Aku cuma join 10 kilometer. Maklum la, stamina suam suam kuku je. Aku rasa aku akan merangkak ke garisan penamat kalau aku join marathon tu. Niat asal nak join larian 5 kilometer tapi tak sempat sebab dah sold out sekelip mata. Maka gigih la aku join larian 10 kilometer. Haha! Kantoi dah. Takpe la. Kalau kita tak cabar diri kita, sampai bila pun kita tak tahu keupayaan sebenar kita kan? 



Sebelum larian hari tu, aku tak sempat makan dan minum apa apa pun. Bukan sebab sengaja tak nak makan tapi sebab aku dah terlambat pagi tu. Tergesa gesa sampai tak sempat nak alas perut. Akhirnya aku berlari dengan perut kosong pagi ni. Awal tu aku bersemangat waja lagi. Tapi dah tengah tengah, aku mula kehabisan tenaga. Nafas tak cukup nak sambung lari. Akhirnya aku lenggang kangkung sampai ke garisan penamat. Tapi alhamdulillah, aku berjaya habiskan larian 10 kilometer tu dalam masa 1 jam 36 minit. Takpe la. Aku ada alasan yang kukuh. Ya. Alasan aku sebab aku tak makan dan minum apa apa sebelum lari tu. Tak cukup tenaga nak lari pagi tu. Jadi aku harap korang terima alasan aku. Haha!



Aku sangat puas hati dengan Standard Chartered KL Marathon ni. Sangat teratur dan tersusun dari segi pelepasan dan penyerahan medal, pasukan kecemasan yang sentiasa bersedia, ambulans sana sini, tandas di beberapa hentian sepanjang larian dan sebagainya. No wonder penyertaan semua kategori cepat sangat sold out. Menurut laman web Standard Chartered KL Marathon, hampir 36,000 orang yang join Standard Chartered KL Marathon hari tu. Hebat tak? Tahun depan memang kena join lagi. Tahun depan ulang tahun ke-10 tu! Mungkin tahun depan aku dah upgrade kepada half marathon? Haha! Yakin tak?




Lepas ni larian mana pula? Ada cadangan?

Copyright © Budak Lelaki Sebelah Pintu Designed by azhafizah.com