Rabu, 31 Mei 2017

15+ Buffet Ramadhan 2017 | Buka Puasa Di Kuala Lumpur & Kawasan Sekitar

Salam.

Sumber gambar: DI SINI

Ada rancangan nak berbuka puasa kat luar? Haaa... Kat sini aku kongsikan senarai lokasi buffet buka puasa sepanjang bulan Ramadan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya bagi tahun 2017. Kot kot korang nak makan sepuas hati dan melantak tak ingat dunia, boleh la buka puasa secara buffet. Harga pun boleh tahan. Harap sedap la. Rugi pula kalau dah bayar mahal mahal tapi rasa tak setanding dengan harga yang dibayar. Baik buka puasa kat kedai mamak je kan? Haha!

Jom kita tengok antara lokasi buffet buka puasa di Kuala Lumpur dan sekitarnya sempena bulan Ramadan kali ni.

  • KL Tower
Tarikh: 1 Jun 2017 hingga 23 Jun 2017
Masa: 6.30 petang hingga 10 malam
Harga: RM99++ (dewasa) dan RM69++ (kanak-kanak)
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 013-6690569.

  • Restoran Terapung D'SAJI KL Titiwangsa
Harga: RM63.85++ (dewasa) dan RM31.60++ (kanak-kanak)
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-40210098.

  • The Regency Hotel Kuala Lumpur
Tarikh: 29 Mei 2017 hingga 22 Jun 2017
Masa: 7.00 petang hingga 10 malam
Harga: RM65 (dewasa) dan RM40 (kanak-kanak berusia 6-10 tahun dan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas)
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-22622000/1015.

  • Palace of the Golden Horses Kuala Lumpur
Tarikh: 22 Mei 2017 hingga 24 Jun 2017
Harga:
- RM108 (dewasa) dan RM78 (kanak-kanak dan warga emas) bagi minggu pertama dan minggu keempat
- RM128 (dewasa) dan RM78 (kanak-kanak) bagi minggu kedua dan minggu ketiga
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-89464888 atau 019-6001685.

  • Zon Hotel
Tarikh: 30 Mei 2017 hingga 23 Jun 2017
Masa: 6.30 petang hingga 9.30 malam
Harga: RM89 (dewasa) dan RM49 (kanak-kanak dan warga emas)
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-21648000/3115/3118.

  • Chakri Palace Thai Cuisine
Harga:
- RM95.90++ (KLCC) dan RM85.90++ (Pavilion) untuk dewasa
- RM49.90++ (KLCC) dan RM42.90++ (Pavilion) untuk kanak-kanak berusia 6-10 tahun
- Percuma untuk warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak usia bawah 6 tahun.
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-23827788 (KLCC) dan 03-21431141 (Pavilion).

  • JW Marriott Kampong Festive
Tarikh: 27 Mei 2017 hingga 24 Jun 2017
Masa: 7 petang hingga 10.30 malam
Harga: RM98 (individu)
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-27829099.

  • Berjaya Times Square Hotel Kuala Lumpur
Harga:
- RM128 (dewasa) dan RM58 (kanak-kanak) bagi minggu pertama dan minggu keempat
- RM138 (dewasa) dan RM68 (kanak-kanak) bagi minggu kedua dan minggu ketiga

  • Palm Garden Hotel IOI Resort City, Putrajaya
Tarikh: 27 Mei 2017 hingga 2 Jun 2017
Harga: RM95 (dewasa) dan RM57 (kanak-kanak)
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-89432233.

  • Resort Cafe Sunway Resort Hotel & Spa
Tarikh: 27 Mei 2017 hingga 24 Jun 2017
Masa: 6 petang hingga 10.30 malam
Harga: RM188 (dewasa) dan RM98 (kanak-kanak berusia 6-12 tahun)
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-74952009 atau 03-74928000.

  • Bangi Golf Resort BGR Restaurant
Harga: RM58 (dewasa) dan RM28 (kanak-kanak)

  • Streat Thai Restaurant
Tarikh: 27 Mei 2017 hingga 24 Jun 2017
Masa: 7 petang hingga 9:30 malam
Harga: RM49.90++ (dewasa) dan RM19.90++ (kanak-kanak berusia 6-12 tahun)

  • Bijan Bar & Restaurant (Fine Malay Cuisine)
Tarikh: 29 Mei 2017 hingga 23 Jun 2017
Masa: 7 petang hingga 9.30 malam
Harga: RM110++ (individu)
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-20316568.

  • Silka Maytower Kuala Lumpur
Tarikh: 28 Mei 2017 hingga 22 Jun 2017
Masa: 6.30 petang hingga 10 malam
Harga: RM79 (dewasa), RM45 (warga emas berusia 60 tahun dan ke atas) dan RM40 (kanak-kanak berusia 4-12 tahun)
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-26929298.

  • Grand Bluewave Hotel Shah Alam
Harga: RM115++ (dewasa) dan RM65++ (warga emas berusia lebih daripada 60 tahun dan kanak-kanak berusia 4-11 tahun)

  • Corus Hotel Kuala Lumpur
Tarikh: 27 Mei 2017 hingga 25 Jun 2017
Masa: 6.30 petang hingga 10.30 malam
Harga: RM128 (dewasa) dan RM50 (kanak-kanak)
Nikmati potongan sehingga 20% bagi kad debit dan kredit terpilih!
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-21618888.

  • The Ritz-Carlton Kuala Lumpur
Harga: RM118 (dewasa) dan RM59 (kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah)
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-27829099.

  • Premiere Hotel Klang
Harga: RM118 (dewasa) dan RM88 (kanak-kanak dan warga emas)
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-33256928/6939/6879.

  • Marriott Putrajaya Hotel
Tarikh: 29 Mei 2017 hingga 24 Jun 2017
Harga: RM135 (dewasa) dan RM90 (kanak kanak berusia 5-12 tahun)
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi 03-89498888/1013/1028/1029.

Dah tu tak reti reti nak belanja aku buka puasa kat mana mana buffet Ramadan kat atas ni? Haha! Kalau nak buffet Ramadan yang murah sikit, boleh singgah entri kat bawah ni.

Harga Runcit Minyak Turun Minggu Pertama Jun

Salam.

Sumber gambar: DI SINI

Alhamdulillah. Berita gembira! Walaupun turun 1 sen, 2 sen je. Sekurang-kurangnya turun kan? Jangan minggu depan naik 10 sen, 20 sen dah la. Haha! Harga minyak ni berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam ni hari Khamis tarikh 1 Jun 2017 sehingga 7 Jun 2017.
  • Petrol RON95: RM 2.10 (turun 2 sen)
  • Petrol RON97: RM 2.38 (turun 2 sen)
  • Diesel: RM 2.02 (turun 1 sen)

Isi minyak esok je la. Haha!

Beli Tudung dUCk Beratur Sampai Ke Luar Pavilion!

Salam.


Wow! Hebat betul penangan tudung daripada dUCk ni! Semalam dUCK telah melancarkan koleksi tudung terbaharu untuk raya tahun ni dan semalam juga semua tudung tu dah kehabisan stok! Baik atas talian mahupun kat kedai, koleksi tudung terbaharu daripada dUCk ni dah kehabisan stok. Betapa hebatnya penangan dUCk ni! Tu cuba korang tengok orang yang beratur nak beli koleksi tudung terbaharu daripada dUCk tu. Sampai kat luar Pavilion dorang sanggup beratur. Panjang barisan tu sampai ke Grand Millenium Hotel yang terletak kat sebelah Pavilion. Pehhh... Panjang gila barisan! Bayangkan orang yang beratur tu daripada dalam Pavilion sampai ke luar Pavilion hingga ke Grand Millenium Hotel tu.



Tahniah Vivy Yusof! Bukan senang nak cipta fenomena dUCk ni. Walaupun aku tak faham sangat sejenis kegigihan yang beratur panjang sampai macam tu semata-mata untuk mendapatkan tudung daripada dUCk ni. Haaa... Sah sah la aku tak faham sebab aku tak pakai tudung. Haha!

Neelofa Sindir Fattah Amin Tidak Hadir Meletop?

Salam.


Malam tadi tengok rancangan Meletop tak? Dengar cerita malam tadi tetamu undangan Meletop ada Michael Ang, Uqasha Senrose dan Zizie Izette yang datang untuk mempromosikan drama terbaru Astro berjudul Hero Seorang Cinderella. Yes. Drama yang menggandingkan Fattah Amin dan Fazura sebagai hero dan heroin tu. Angkat tangan semua peminat Fattzura! Tapi aku tak tengok pun drama tu. Suri Hati Mr Pilot pun aku tak tengok walau satu episod. Tapi aku tahu je fenomena Lofattah tu. Cuma netizen agak bising bila malam tadi Fattah Amin dan Fazura takde kat Meletop untuk mempromosikan drama Hero Seorang Cinderella tu. Menurut Michael Ang, giliran Fattah Amin dan Fazura kemudian akan ditetapkan. Penampilan malam tadi memang Michael Ang, Uqasha Senrose dan Zizie Izette je. Lebih kurang macam tu la Michael Ang membebel kat instagram dia.

Sebelum tidur semalam, aku perasan Neelofa ada kemas kini instagram story dia. Well... Aku follow Neelofa kot! Cuma Neelofa je tak follow aku. Haha! Sah sah la dah kenapa Neelofa nak follow aku kan? Lain la aku Fattah Amin. Ehhh... Katanya sebelum tidur ada baiknya maafkan semua orang dulu. Tapi Neelofa sempat tinggalkan pesan tentang jangan sampai produser keluarkan bukti tentang penampilan malam ni. Alamak! Tuju kat siapa tu? Aku ke? Hmmm... 


Produser? Bukti? Penampilan? Malam ni? Ehh... Tak baik gosip. Haha! Okay. Buat buat tak nampak.

Maggi Kurangkan Garam Perencah Kari Kerana Faktor Kesihatan

Salam.

Sumber gambar: DI SINI

Kalau sebut Maggi je, mesti terbayang mee segera perencah kari keluaran Nestlé. Betapa kuatnya jenama Maggi ni sampai semua mee segera selalu disebut sebagai Maggi. Padahal? Maggi tu jenama mee segera keluaran Nestlé. Haaa... Nampak tak?

Aku sendiri dah lama tak makan Maggi. Sebab sekarang aku lebih suka Mamee Chef yang lebih sedap dengan perencahnya siap ada bahan-bahan tambahan seperti sayur-sayuran, udang dan tofu. Kalau Maggi? Perencah tu je la. Tak menarik! Takde bahan-bahan tambahan yang lain. Tu aku kurang sikit dengan Maggi sekarang ni. Selain Mamee Chef, aku suka Samyang Spicy Ramen. Memang terangkat la setiap kali makan. Sampai sekarang dah tak rasa pedas langsung bila makan Samyang Spicy Ramen tu sebab dah biasa sangat makan kot? Haha!

Menurut Bloomberg, Nestlé SA akan mengurangkan kandungan garam dalam mee segera, sup dan perencah Maggi bagi memenuhi permintaan pengguna dan kerajaan untuk produk yang lebih sihat. Syarikat daripada Switzerland tersebut bercadang untuk mengurangkan garam sehingga 10% bagi produk Maggi sebelum tahun 2020 di samping menambahkan lagi sayur-sayuran dan bahan-bahan lain yang kaya dengan nutrien. Semua ni adalah inisiatif syarikat untuk mengurangkan sodium, lemak tepu dan juga gula dalam produk mereka.

Bagus la kalau macam tu. Ye la. Sekarang orang suka cari makanan yang lebih sihat, lebih organik dan lebih banyak nutrien. Harap Nestlé Malaysia pun buat perkara yang sama. 

Sumber: Bloomberg

Selasa, 30 Mei 2017

Cara Dato' Seri Najib Tun Razak Pegang Kucing Menarik Perhatian Netizen

Salam.


Heboh semalam gambar Perdana Menteri kita Dato' Seri Najib Tun Razak yang sedang bermesra dengan kucing peliharaannya yang bernama Kiky. Netizen di laman twitter rancak mengusik dan mempersoalkan cara Dato' Seri Najib Tun Razak memegang Kiky. Tapi masalahnya memang macam tu cara Dato' Seri Najib Razak bergambar dengan Kiky. Tak percaya? Cuba tengok gambar-gambar kat bawah ni. Tu memang cara Dato' Seri Najib Tun Razak pegang kucing dia, bukan cekik tau. Tak baik korang ni.



Haaa... Penyayang sungguh Perdana Menteri kita yang sorang ni. Tapi kenapa Dato' Seri Najib Tun Razak block Bujibu Chempel kat twitter? Kesian dia. Dia cuma suruh Kiky tu senyum ikhlas sikit baru gambar dengan Dato' Seri Najib Tun Razak nampak lebih natural dan candid. Cuba tengok Kiky dalam gambar tu, tak nak senyum langsung. Betul tak Bujibu? Ehhh... Ke Kiky sentap lepas tu minta Dato' Seri Najib Tun Razak block Bujibu?


Lofattah? Fattzura? Apalah sangat nak dibandingkan dengan Dato' Seri Najib Tun Razak dan Kiky.

Perkara Membatalkan Puasa Ramadan & Puasa Sunat

Salam.


Alhamdulillah. Sedar tak sedar hari ni dah masuk hari keempat kita menjalani ibadah puasa. Puasa daripada segi bahasa ditafsirkan sebagai menahan diri dalam bahasa Arab. Daripada segi istilah syarak pula, puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari dengan niat. Haaa... Contoh perkara-perkara yang membatalkan puasa? Kat bawah ni ada senarai hal-hal atau perkara-perkara yang lazimnya menjadi tanda tanya dan persoalan batal ke tak puasa kita ni. Batalkah puasa kita?

Ujian atau sampel darah
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Al-Lajnah, Shaikh Ibn Baz

Berkumur-kumur
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Imam A-Nawawi, Ibn Utsaimin

Merasa makanan atau minuman
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Al-Lajnah, Syaikh Ibn Utsaimin

Memotong rambut atau kuku
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Syaikh Ibn Baz

Mandi
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Al-Lajnah, Syaikh Ibn Utsaimin

Berenang
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Al-Lajnah, Syaikh Ibn Utsaimin

Menelan air ludah
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Syaikh Ibn Baz, Ibn Utsaimin

Menderma darah
Hukum: Batal
Fatwa: Syaikh Ibn Utsaimin

Suntikan ubat
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Al-Lajnah, Ibn Baz, Ibn Utsaimin

Suntikan nutrisi
Hukum: Batal
Fatwa: Al-Lajnah, Ibn Baz, Ibn Utsaimin

Nebulizer
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Al-Lajnah, Ibn Baz, Ibn Utsaimin

Keluar air mazi
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Syaikh Ibn Baz, Ibn Utsaimin

Meninggalkan solat
Hukum: Tidak sah puasa
Fatwa: Al-Lajnah, Ibn Baz, Ibn Utsaimin

Korek hidung atau telinga
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Tiada dalil yang menyatakannya batal

Penitik mata
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Syaikh Ibn Baz, Ibn Utsaimin

Penitik hidung
Hukum: Batal
Fatwa: Syaikh Ibn Baz, Ibn Utsaimin

Celak mata
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Syaikh Ibn Utsaimin

Penitik telinga
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Syaikh Ibn Utsaimin

Inhaler
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Syaikh Ibn Utsaimin

Minyak wangi
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Syaikh Ibn Baz, Utsaimin, Muqbil

Hisap rokok
Hukum: Batal
Fatwa: Syaikh Ibn Utsaimin

Bersetubuh
Hukum: Batal (wajib kaffarah)
Fatwa: Imam An-Nawawi

Pendarahan hidung
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Syaikh Ibn Utsaimin

Pendarahan gusi
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Al-Lajnah, Syaikh Ibn Utsaimin

Cabut gigi
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Syaikh Ibn Utsaimin

Ubat gigi
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Syaikh Ibn Baz

Cium, peluk, cumbu suami dan isteri
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Imam An-Nawawi

Alat solek, pelembab bibir, make-up
Hukum: Tidak batal
Fatwa: Syaikh Ibn Baz, Ibn Utsaimin


Artikel mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa turut diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Menurut artikel yang diterbitkan, antara perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut:
  1. Memasukkan sesuatu kedalam rongga badan dengan sengaja, sama ada jenis makanan atau bukan makanan. Contohnya seperti menghisap rokok, tembakau, candu, dadah dan menghisap (nusyuk) melalui hidung selain daripada suntikan makanan atau menambah vitamin.
  2. Memasukkan sesuatu daripada dua jalan (qubul dan dubur)
  3. Memuntahkan makanan dengan sengaja
  4. Jimak (bersetubuh) - Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim
  5. Keluar air mani dengan sengaja (kecuali keluar kerana bermimpi)
  6. Keluar darah haid dan nifas - Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari
  7. Gila
  8. Murtad terkeluar daripada Islam sama ada dengan perkataan atau perbuatan atau keyakinan
  9. Pengsan sepanjang hari ketika berpuasa

Untuk maklumat lebih lanjut, korang boleh baca artikel kat bawah ni.


Selamat menjalani ibadah puasa!

Sumber: DI SINI

Ahad, 28 Mei 2017

Rumah Sewa Seri Iskandar, Perak

Salam.


Ada sesiapa yang mencari rumah atau bilik sewa di sekitar bandar Seri Iskandar, Perak? Atau berdekatan dengan Tronoh, Perak? Rumah atau bilik sewa ni sangat sesuai untuk pelajar terutamanya dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan UiTM Seri Iskandar. Tapi yang dah bekerja pun boleh menyewa kat sini juga. Tiada masalah. Ni maklumat terperinci mengenai rumah atau bilik sewa tu.
  • Rumah baru je diubahsuai (renovated)
  • Lengkap dengan perabot (keperluan asas)
  • Sesuai untuk pelajar (UTP atau UiTM Seri Iskandar)
  • Berdekatan UTP, UiTM Seri Iskandar, McDonald's, Billion dan lain-lain kemudahan
  • Ada kemudahan wifi
  • Kipas disediakan bagi setiap bilik (tiada air-cond disediakan)
  • Semua bil dah termasuk dalam sewa bulanan

Ni antara gambar gambar di luar dan di dalam rumah tersebut.






Berminat? Untuk maklumat lanjut sila hubungi 017-3035939 dengan segera. 

Sabtu, 27 Mei 2017

Cara Atasi Gastrik Ketika Puasa Bulan Ramadan

Salam.


Aku tak pasti la kenapa setiap kali bulan Ramadan datang, masalah gastrik sering dijadikan alasan untuk tidak berpuasa. Haaa... Kalau betul betul sakit gastrik yang separuh mati tu, takpe la kita pun faham la juga kan? Tapi yang tak pernah gastrik sebelum sebelum ni, tiba tiba je gastrik masa bulan Ramadan. Kau dah kenapa? Haha! Emo pula aku.

Gastrik atau istilah perubatan dia gastritis ni sejenis penyakit keradangan pada dinding atau lapisan mukosa perut. Tanda-tanda gastrik adalah seperti ketidakselesaan pada perut, sakit perut, bahagian atas abdomen atau ulu hati, perut senak, berangin atau pedih, kembung, sendawa, loya, hilang selera makan atau turun berat badan.

Kat sini aku nak kongsikan tips berpuasa terutamanya dalam bulan ramadan untuk mereka yang mengalami masalah gastrik. Jom?

ELAKKAN
  • Makanan bergoreng
  • Makanan dalam tin (kerana kandungan asid yang tinggi)
  • Minuman bergas
  • Makanan atau minuman yang mempunyai asid yang tinggi (limau/oren/tomato)
  • Merokok
  • Makanan atau minuman tinggi kandungan kafein (teh/kopi)
  • Tidur sebaik sahaja bersahur dan berbuka
  • Berbuka dengan kuantiti yang banyak

AMALKAN
  • Berbuka dalam kuantiti yang sederhana
  • Jarakkan pengambilan makanan
  • Menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur
  • Jika ada ubat gastrik, makan sewaktu sahur. Jika ubat dua kali sehari, makan waktu sahur dan berbuka. Jika tiga kali sehari, makan waktu sahur, berbuka dan tengah malam sebelum tidur.
  • Minum banyak air masak (sekurang-kurangnya 2-3 liter sehari)
  • Banyakkan makanan karbohidrat kompleks (beras perang/oat)

JAGA-JAGA
  • Jika kelihatan letih, pucat, lesu kerana komplikasi gastritis adalah luka pada perut dan kekurangan zat besi untuk pembentukan hemoglobin.
  • Kajian menunjukkan asid paling tinggi dirembeskan pada waktu tengah hari. Jika rasa pedih ulu hati yang berterusan, segeralah berjumpa doktor.

Sumber: "Sakit Gastrik Di Bulan Ramadhan" oleh Dr Ruhi Fadzlyana, Pakar Bedah

VEST Tawar RM50 Ribu Kepada Pelajar Universiti Dalam Pertandingan Keusahawanan

Salam.

Sumber gambar: DI SINI

Berita baik! Peluang untuk memenangi RM50 ribu ni terbuka kepada semua pelajar IPTA dan IPTS di Malaysia! Haaa... 50 ribu tau bukan 50 ringgit. Diulangi 50 ribu! Rugi la kalau korang lepaskan peluang macam ni. Siapa nak bagi 50 ribu? Sah sah bukan aku! Bukan setakat tu je, siap dapat kembangkan idea perniagaan korang atau perniagaan sedia ada korang tu. Silap silap jadi usahawan sehebat Fizo Omar, Neelofa dan Vivy Yusof! Macam mana tu? Sertai program VEST sekarang!


APA ITU VEST?

Sebelum korang teruja sangat dengan RM50 ribu tu, lebih baik kita kenal kenal dengan VEST terlebih dulu. Haaa... Varsity Entrepreneurship Skills & Talents (VEST) ni merupakan satu program pertandingan keusahawanan yang bakal melibatkan 1000 orang mahasiswa dari 20 institut pengajian tinggi seluruh negara dengan 200 idea perniagaan yang bakal dikembangkan. Jangan risau, semua peserta akan didedahkan dengan teknik-teknik terkini jualan, pemasaran, penjenamaan, komunikasi berkesan, membina rangkaian francais dan perancangan kewangan dalam tempoh 6 bulan. Jadi kalau tak tahu sangat pasal keusahawanan atau perniagaan pun takpe.


OBJEKTIF

Kenapa program VEST ni dianjurkan? Untuk apa? Untuk siapa? Banyak pula aku tanya kan? Haha! Program VEST ni sebenarnya mempunyai objektif yang jelas terutamanya dalam memupuk semangat keusahawanan dan mempromosikan perniagaan. Jom baca sikit antara objektif program VEST kat bawah ni.
  • Memupuk dan melahirkan usahawan dalam kalangan pelajar universiti awam tempatan
  • Membangunkan nilai-nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui bimbingan dan ilmu kemahiran keusahawanan
  • Menawarkan peluang perniagaan serta mengukuhkan dan mengembangkan perniagaan sedia ada secara lebih sistematik dan dinamik
  • Menyampaikan maklumat berkaitan agensi-agensi keusahawanan yang menyediakan kemudahan pembiayaan, latihan, akses kepada pasaran, kemudahan infrastruktur dan sebagainya
  • Mencipta peluang pekerjaan pelbagai sektor dalam pasaran 


TERMA & SYARAT

Kalau berminat, korang cuba semak sama ada korang layak ke tidak untuk sertai program VEST ni.
  • Terbuka kepada semua pelajar IPTA dan IPTS di Malaysia
  • Warganegara Malaysia
  • Minimum 10 pasukan bagi setiap universiti
  • Setiap kumpulan tidak melebihi daripada lima (5) orang ahli kumpulan
  • Berusia 18-25 tahun
  • Berdaftar mahasiswa sepenuh masa
  • Terbuka kepada mahasiswa yang mempunyai idea perniagaan atau perniagaan sedia ada
  • Produk atau perkhidmatan yang pernah memenangi pertandingan ataupun anugerah tidak dibenarkan bertanding
  • Produk atau perkhidmatan patuh syariah
  • Tarikh penyertaan bermula dari 28 April 2017


KONSEP PERNIAGAAN

Untuk pengetahuan korang, program VEST ni hanya fokus kepada lima (5) segmen kluster perniagaan ni. Jadi korang kena pastikan idea perniagaan atau perniagaan sedia ada korang termasuk dalam mana mana kluster di bawah.
  1. Franchising/Licensing (contoh: Product &Services)
  2. Creative & Innovative (contoh: Robotic, Photography, Music Talent, Software Program)
  3. Online Business (contoh: Tudung, Health & Beauty, Education)
  4. Agro Business (contoh: Fruits & Vegetables for Commercial, Fishery)
  5. Mobile Business (contoh: F&B, Services, Spa)


CARA MENDAFTAR

Terdapat dua (2) cara untuk mendaftar program VEST.



HADIAH PERTANDINGAN

Seperti yang korang nampak kat atas tu, hadiah pertandingan adalah berupa wang tunai berjumlah RM25 ribu bagi tempat pertama, RM15 ribu bagi tempat kedua dan RM10 ribu bagi tempat ketiga. Tapi apa yang paling menarik kat sini ialah walaupun korang tak menang tempat pertama, kedua atau ketiga, 300 orang peserta terpilih akan ke peringkat selanjutnya selama 1 tahun bersama Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Wow! Peluang belajar selok belok perniagaan dan bidang keusahawanan dengan PNS tu! Setahun tau. Bukan seminggu dua atau sebulan dua. Rugi! Rugi la kalau lepaskan peluang ni.

Kalau tak silap aku, setakat hari ni dah ada tujuh (7) IPTA dan IPTS yang hantar penyertaan seperti di bawah.
  • Universiti Malaya (UM)
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  • Universiti Utara Malaysia (UUM)
  • Universiti Sains Malaysia (USM)
  • Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)
  • Multimedia University (MMU)

Korang punya universiti dah hantar penyertaan ke belum? Kalau belum, korang kena rebut peluang ni. Jangan terlepas peluang yang tak datang setiap hari ni.


Ada banyak soalan? Tak jumpa jawapan dalam entri ni? Korang boleh hubungi talian kat bawah ni atau akaun rasmi bagi program VEST di laman-laman sosial seperti facebook, instagram dan twitter. Semua maklumat ada kat bawah ni.

Khamis, 25 Mei 2017

Kejam! Anak Kucing Kepala Terputus, Kaki Terpotong & Usus Terkeluar!

Salam.


Comel tak anak kucing kat atas tu? Tu anak kucing aku. Dah masuk sebulan dah usia anak-anak kucing aku. Cakap pasal anak kucing, aku ternampak tweet mengenai anak kucing yang mana kepalanya terputus, kakinya terpotong, perutnya terbelah dan ususnya terkeluar. Wow! Sampainya hati! Katanya semalam pun ada anak kucing lain mengalami nasib yang sama. Aduhai. Kerja siapa ni? Aku harap bukan manusia yang buat. Sebab tak layak dia digelar manusia kalau betul dia buat macam ni kat anak kucing yang sah sah takde akal.


Kat bawah ni ada cerita yang lebih terperinci. Ada juga yang memberikan pendapat kemungkinan haiwan atau binatang lain yang buat. Tapi kalau manusia yang buat? Memang layak kita gelar dia sebagai haiwan atau binatang.


Adakah manusia semakin hilang nilai kemanusiaan?

Rabu, 24 Mei 2017

Pengalaman Pertama Sertai Standard Chartered KL Marathon

Salam.


Pertama kali aku join acara larian Standard Chartered KL Marathon ni. Katanya ni tahun ke-9 acara tahunan ni dijalankan. Tapi aku tak join full marathon ataupun half marathon pun. Aku cuma join 10 kilometer. Maklum la, stamina suam suam kuku je. Aku rasa aku akan merangkak ke garisan penamat kalau aku join marathon tu. Niat asal nak join larian 5 kilometer tapi tak sempat sebab dah sold out sekelip mata. Maka gigih la aku join larian 10 kilometer. Haha! Kantoi dah. Takpe la. Kalau kita tak cabar diri kita, sampai bila pun kita tak tahu keupayaan sebenar kita kan? 



Sebelum larian hari tu, aku tak sempat makan dan minum apa apa pun. Bukan sebab sengaja tak nak makan tapi sebab aku dah terlambat pagi tu. Tergesa gesa sampai tak sempat nak alas perut. Akhirnya aku berlari dengan perut kosong pagi ni. Awal tu aku bersemangat waja lagi. Tapi dah tengah tengah, aku mula kehabisan tenaga. Nafas tak cukup nak sambung lari. Akhirnya aku lenggang kangkung sampai ke garisan penamat. Tapi alhamdulillah, aku berjaya habiskan larian 10 kilometer tu dalam masa 1 jam 36 minit. Takpe la. Aku ada alasan yang kukuh. Ya. Alasan aku sebab aku tak makan dan minum apa apa sebelum lari tu. Tak cukup tenaga nak lari pagi tu. Jadi aku harap korang terima alasan aku. Haha!



Aku sangat puas hati dengan Standard Chartered KL Marathon ni. Sangat teratur dan tersusun dari segi pelepasan dan penyerahan medal, pasukan kecemasan yang sentiasa bersedia, ambulans sana sini, tandas di beberapa hentian sepanjang larian dan sebagainya. No wonder penyertaan semua kategori cepat sangat sold out. Menurut laman web Standard Chartered KL Marathon, hampir 36,000 orang yang join Standard Chartered KL Marathon hari tu. Hebat tak? Tahun depan memang kena join lagi. Tahun depan ulang tahun ke-10 tu! Mungkin tahun depan aku dah upgrade kepada half marathon? Haha! Yakin tak?




Lepas ni larian mana pula? Ada cadangan?

Selasa, 23 Mei 2017

Baju Melayu Sultan (Jubah Januar) Moden, Bergaya & Kasual Hari Raya

Salam.


Jubah Januar kembali dengan Baju Melayu Sultan yang disertakan seluar hitam slim fit untuk raya tahun ni! Ya. Seperti yang korang nampak dalam gambar kat atas tu, Baju Melayu Sultan ni jenis cekak musang. Kain yang digunakan pula adalah kain cotton yang sangat berkualiti tinggi. Istimewanya kali ni Baju Melayu Sultan ada 10 warna yang berbeza dan cantik cantik belaka. Siap ada Baju Melayu Sultan untuk kanak-kanak! Haaa... Sangat sesuai untuk mereka yang dah berkeluarga, terutamanya mereka yang ada anak-anak lelaki tu. Kalau takde anak-anak lelaki, anak-anak ikan pun boleh. Haha!



Baju Melayu Sultan ni sangat kasual dan santai bila dipadankan dengan seluar hitam slim fit. Aku suka dengan idea seluar hitam slim fit tu. Sebab aku kalau pergi solat Jumaat, kenduri doa selamat, majlis bacaan yasin dan sebagainya, aku lebih suka pakai baju melayu dengan seluar slack atau dengan seluar jeans untuk nampak lebih kasual dan santai. Aku tak suka sangat pakai baju Melayu lengkap melainkan betul betul hari raya atau majlis rasmi. Daripada aku membebel panjang, sini aku senaraikan antara ciri-ciri istimewa yang ada pada Baju Melayu Sultan daripada Jubah Januar ni:
  • Cekak musang
  • Sepasang dengan seluar hitam slim fit
  • Kain cotton berkualiti tinggi
  • 10 warna berbeza
  • Juga terdapat dalam saiz kanak-kanak
  • Poket di kiri dan di kanan (terdapat tempat letak duit syiling dalam poket)
  • Lengan tangan tidak berbutang supaya mudah dilipat
  • Potongan yang memberi ilusi kurus dan sasa kepada si pemakai

Sedikit info mengenai Jubah Januar ni, antara artis yang dah pakai jubah, kurta dan baju melayu daripada Jubah Januar ialah Shukri Yahaya, Hafreez Adam, Khai Bahar, Fahmie Ismail, Dafi Ismail Sabri, Hefny, Zain Saidin dan Sabhi Sadhi. Haaa... Sebarislah korang dengan semua artis tu kalau dah pakai jubah, kurta dan baju melayu daripada Jubah Januar. Silap silap lebih artis daripada semua artis tu! Haha! Feeling tak?




Kat bawah ni pula antara koleksi kurta daripada Jubah Januar untuk raya tahun ni. Sangat sesuai untuk mereka yang tak suka pakai kain samping. Bukan setakat tu je, korang sebenarnya boleh nampak lebih bergaya bila kurta tu dipadankan dengan jaket kulit. Haaa... Rambang mata ke tidak?




Hmmm... Mana satu ni? Raya tahun ni nak pakai baju melayu ke kurta? Peningnya! Ke dua dua? Haha!

Copyright © Budak Lelaki Sebelah Pintu Designed by azhafizah.com